BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Seorang penumpang pesawat Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RBA) penerbangan BI071 dari Brisbane, Australia ke Auckland, New Zealand dibawa keluar dari pesawat berkenaan setelah membuat ancaman bom terhadap kakitangan syarikat dalam kejadian pada Rabu, 30 Disember.
Jurucakap RBA dalam kenyataannya hari ini berkata RBA tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan yang boleh mengganggu keselamatan pesawat, penumpang dan kru, dan akan terus berwaspada dan berjaga-jaga demi memastikan keselamatan penumpang.
Kenyataan itu juga menyebut penumpang terbabit sangat menyesali perbuatannya itu dan memohon maaf kepada kakitangan dan kru lapangan terbang atas kejadian berkenaan.
Pada 25 Disember lalu, dunia dikejutkan dengan cubaan gagal warga Nigeria meletupkan pesawat Northwest Airlines yang terbang dari Amsterdam, Belanda sejurus sebelum pesawat mendarat di Detroit, Amerika Syarikat.
Sehubungan dengan kejadian itu Amerika Syarikat serta-merta meminta syarikat penerbangan seluruh dunia mempertingkatkan kawalan keselamatan pihak berkuasa lapangan terbang.
Jabatan Penerbangan Awam dalam kenyataan akhbarnya pada 29 Disember menyatakan berikutan dengan kejadian penerbangan di Amerika Syarikat berkenaan, pihak mereka bersama agensi keselamatan yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei akan sentiasa memantau dan prihatin dengan perkembangan kejadian itu.
No comments:
Post a Comment