Thursday, September 16, 2010

9 lagi ubat diharamkan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan pengimportan, penjualan dan penggunaan sebanyak 9 jenis ubat tradisional yang didapati mengandungi bahan lancung dan tiga produk yang ditarik balik oleh pihak berkuasa pengawalan dadah di negara jiran.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, hari ini, ubat-ubat tradisional yang dikenal pasti mengandungi bahan lancung ialah Bio-Neuro Tablet edaran Biodiabetes Sdn Bhd, Malaysia yang didapati mengandungi bahan, Dexamethasone, Pill Tupai Jantan Asli keluaran Perusahaan Nyonya Marketing Enterprise, Sarawak dan Jamu Tradisional Pegel Linu Barongsai Brand keluaran P.J.H.G. Surabaya-Indonesia yang didapati mengandungi bahan, Dexamethasone dan Asam urat dan Pengapuran Buah Naga Tunggal Jaya keluaran P.J Andy Indonesia dan Asam Urat & Pengapuran Buah Naga keluaran PT SM Jaya-Indonesia yang didapati mengandungi Phenylbutazone.
Kementerian Kesihatan juga mengesan bahan-bahan lancung dalam Topmen Capsule keluaran PT Karya Mandiri-Indonesia yang mengandungi Sildenafil, Fullcon Antihistamine yang tidak diketahui pengeluarnya didapati mengandungi Chlorpheniramine serta Kapsul Alam Tiongkok keluaran PJ Bumi Sari Jaya-Indonesia dan Xian Ling keluaran P.J. Akar Mujarab-Indonesia yang didapati mengandungi bahan, Acetaminophen.
Pihak berkuasa kawalan dadah negara jiran turut mengeluarkan arahan penarikan ubat bagi 357 Nasal Spray keluaran Qiandongnan Likaqing Tec Co Ltd, China yang didapati mengandungi Dexamethasone, Hair Growth Tonic E-0583-D dan Hair Growth Formula D-2653-B keluaran Beijing Zhangguang 101 Science & Technology Development Co Ltd, China yang didapati mengandungi bahan Minoxidil.
Kenyataan menjelaskan bahawa bahan lancung yang dikesan dalam ubat-ubatan tradisional berkenaan adalah bahan perubatan yang kuat yang hanya harus digunakan dengan pengawasan terperinci dari pihak perubatan dan oleh itu, orang ramai digesa supaya tidak membeli atau menggunakan produk-produk yang terjejas itu.
Penggunaan bahan Dexamethasone tanpa pengawasan boleh membawa kepada kesan yang buruk termasuk degupan jantung tidak menentu, kelemahan pada otot-otot, retak tulang, bengkak pada bahagian bawah kaki dan meningkatnya risiko jangkitan.
Sementara itu, penggunaan berpanjangan bahan, Phenylbutazone boleh membawa kepada sakit gastrik, gangguan pendengaran, sukar bernafas, bengkak pada muka atau bawah kaki dan gangguan darah.
Sildenafil pula adalah bahan yang digunakan bagi rawatan mati pucuk dan bahan itu boleh berinteraksi dengan bahan ubat-ubatan yang lain yang mampu memberikan kesan yang memudaratkan seperti penurunan tekanan darah jika digunakan bersama dengan bahan-bahan anti-hipertensi.
Manakala itu penggunaan bahan, Chlorpheniramine yang tidak diawasi boleh membawa kepada pening, penurunan tekanan darah, perasaan kekeliruan dan ketakselarasan.
Acetaminophen yang digunakan bagi rawatan sakit dan demam. Ia jika digunakan secara berpanjangan boleh menyebabkan ruam, penurunan tekanan darah dan gangguan darah serta penggunaan berlebihan boleh membawa kepada kerosakan pada buah pinggang dan hati.
Kementerian Kesihatan berkata bahawa tidak ada sebarang kelulusan diberikan oleh pihak kementerian bagi mengimport dan menjual ubat-ubat berkenaan. Oleh itu, produk-produk yang disenaraikan adalah dilarang untuk diimport atau dijual di Brunei dan jika orang ramai mengguna produk yang terjejas, mereka dinasihatkan untuk berhenti menggunakan ubat-ubatan berkenaan dengan serta-merta dan untuk membuang ubat-ubatan itu.
Jika mereka juga mengalami kesan-kesan dari penggunaan atau merasa kurang sihat untuk segera berjumpa dengan pihak doktor bagi mendapatkan rawatan.
Pihak kementerian mengingatkan orang ramai bahawa penjualan atau pengedaran bahan-bahan ubat larangan adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 di mana penjualan sebarang produk yang mengandungi bahan kawalan di bawah Akta Racun jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda $8000 atau penjara 6 bulan.
Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Farmaseutikal, Kementerian Kesihatan di talian 2230036.


2 comments:

  1. Saya baru sahaja membeli Pil Tupai Jantan Asli, lantas saya buka internet. Saya merasa sangat kecewa kerana saya dapati ia telah diharamkan oleh Kem. Kesihatan. Kalau setakat mengharamkannya sahaja, tiada gunanya kerana ia masih boleh dibeli di warong kopi. Tindakan wajar (sita kilang) perlu diambil keatas syarikat yang memproses dan mengedar agar produk tidak sampai kepada pengguna.

    ReplyDelete