Thursday, September 16, 2010

SMS Prihatin bantu mangsa banjir Pakistan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Banjir Pakistan hari ini melancarkan SMS Brunei Prihatin untuk tabung itu di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
Hadir melancarkan SMS Brunei Prihatin itu ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Pehin Dato Paduka Haji Hazair Haji Abdullah selaku penasihat bersama tabung.
Projek SMS ini adalah anjuran bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB), DST-Group dan B-Mobile Communications Sdn Bhd.
Projek ini juga merupakan salah satu usaha untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menghulurkan derma kepada tabung itu yang ditubuhkan pada 16 Ogos lalu. SMS Brunei Prihatin juga dirasmikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Pengiran Haji Bahrom Pengiran Haji Bahar dan pelancaran SMS itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Datin Hajah Adina Othman.
Kutipan derma melalui SMS ini bermula hari ini dan berakhir pada 10 Oktober depan dan orang ramai yang berhasrat untuk menderma melalui SMS hanya menaip BANTU tanpa jarak dan menaip jumlah derma 1,5,10,15 atau 20 dan menghantar ke 38111 bagi pelanggan DST dan B-Mobile atau melalui WAP Portal. JAPEM selaku urus setia Tabung mengalu-alukan orang ramai untuk menghulurkan derma melalui kemudahan yang disediakan dalam tempoh itu dan dengan adanya bantuan ini, ia akan dapat meringankan beban dan penderitaan mangsa Bencana Banjir Pakistan.

No comments:

Post a Comment