Thursday, September 16, 2010

Buah kedondong tertera kalimah Allah

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Pelbagai dalil Allah Ta'ala tunjukkan kepada umat manusia akan kebesaran dan kewujudan-Nya khususnya dengan penciptaan alam ini serta isi di dalamnya, seperti juga dengan terteranya dua kalimat "Allah" di atas sebiji buah kedondong di Kampung Kilanas.
Yang menarik perhatian pemilik buah berkenaan, Ahmadyani Ismail, 43, ketika melihat buah kedondong berkenaan pada awalnya bukanlah kalimat suci berkenaan tetapi bentuknya yang pelik jika dibandingkan dengan bentuk buah kedondong yang lain yang kesemuanya berbentuk serupa - bulat bujur.
Ketika membelek-belek buah kedondong berbentuk ganjil berkenaan barulah beliau perasan akan kalimat "Allah" yang tertulis di atas kulit hijau buah berkenaan, dan lebih mengejutkan lagi, kalimat berkenaan tertera di dua sudut berbeza buah yang sama.
Adik kepada Ahmadyani - Ismaidi Ismail, 34, menceritakan kepada Media Permata bahawa abangnya telah menemui buah ganjil berkenaan setelah menjolok sepohon pokok kedondong berusia lebih 20 tahun kepunyaan ayahnya di belakang rumah mereka pada pukul 10 pagi.
Setelah menjolok, Ahmadyani bersama seorang anaknya pun mengutip buah-buah kedondong yang berselerakan di atas tanah bawah pokok itu sehinggalah beliau terlihat dan mengutip buah kedondong yang berbeza bentuknya iaitu tidak bujur seperti kebiasaannya bentuk buah kedondong.
Ketika membelek-belek buah itu, beliau mendapati di atas kulit buah yang berwarna hijau itu tertulis kalimah "Allah" dalam tulisan jawi di dua sudut berasingan, lantas membawanya balik ke rumah untuk diperlihatkan kepada ahli keluarganya yang lain.
Menurutnya, terpulang kepada orang ramai untuk mentafsir penemuan 'ajaib' berkenaan kerana mereka yakin ia adalah tulisan kalimat yang Maha Suci, "Allah" sebagai petunjuk bagi mempertingkatkan iman hamba-hambanya yang telah beriman kepada-Nya dan sebagai tanda peringatan kepada mereka yang masih mempertikaikan akan kewujudan-Nya.

No comments:

Post a Comment