BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Satu kemalangan jalan raya membabitkan 12 buah kereta telah mengakibatkan berlaku kesesakan teruk pagi ini di Lebih Raya Sultan Hassanal Bolkiah menuju ke Gadong, berdekatan padang golf Lapangan Terbang.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei, ini merupakan kali pertama kemalangan jalan raya membabitkan jumlah kereta sebanyak itu berlaku pada satu-satu masa.
Laporan itu berkata, pada mulanya lapan kereta terbabit dalam perlanggaran bertimpa, berpunca apabila sebuah kereta secara tiba-tiba menukar ke laluan laju sebelah kanan, mengakibatkan kereta di belakangnya, sebuah Ford Ranger terpaksa membuat brek kecemasan dan menyebabkan berlaku perlanggaran bertimpa pertama.
Susulan itu, pemandu kereta ke sembilan, yang mengekori pada jarak sekitar 50 meter di belakang terpaksa melakukan brek secara tiba-tiba dan ini menyebabkan berlaku satu lagi perlanggaran bertimpa. Kesan impak perlanggaran itu menyebabkan kereta ke sembilan bergerak ke depan dan melanggar belakang kereta ke lapan.
Kereta pertama yang menukar haluan itu bagaimanapun gagal dikesan dan memecut lari meninggalkan tempat kejadian.
Polis berkata, kejadian itu berlaku begitu pantas sehingga menyebabkan 12 buah kenderaan berlanggar satu sama lain. Polis menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.25 pagi dan 10 anggota polis dari Balai Polis Berakas berkejar ke tempat kejadian untuk mengawal lalu lintas.
Saksi-saksi berkata, kereta terakhir mengalami kerosakan paling teruk. Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan.
Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai supaya menjaga jarak kenderaan semasa memandu di jalan raya selain memandu secara berhemah serta mengamalkan sikap sabar semasa masa puncak.
No comments:
Post a Comment