Sekitar jam 8.00 malam, setiap malam Jumaat dan malam Isnin, rumah Haji Abu Kasim Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Abu Kasim sudah didatangi tetamu.
Ada yang datang berseorangan, berdua, bertiga dan ada yang datang secara berkumpulan.
Semasa penulis berada di situ, kelihatan sebuah kereta diletakkan di halaman rumah Ustaz Abu Kasim. Di dalam kereta itu, seorang wanita sedang menjerit-jerit sambil meronta. Tetapi butir pertuturannya tidak dapat difahami. Wanita itu terpaksa dikawal oleh dua lelaki muda yang mempunyai talian persaudaraan dengannya.
Di ruang tamu pula, kelihatan dua anak gadis sedang duduk sambil diawasi oleh ahli keluarganya. Gadis itu kelihatan resah. Matanya meliar dan sesekali cuba meronta, sesekali ketawa mengilai.
Beberapa pembantu Ustaz Abu Kasim yang berada di ruang tamu kelihatan turut membantu menenangkan gadis itu.
Tetamu yang lainnya nampak tenang dan ada yang berbual-bual sesama sendiri sementara menanti kedatangan Ustaz Abu Kasim.
Seperti kebiasaannya, tepat jam 8.30 malam, pintu dapur rumah itu terbuka dan muncul Ustaz Abu Kasim dengan berpakaian jubah berwarna biru lembut, bersongkok putih sambil tersenyum dan memberi salam kepada semua tetamu yang begitu sabar menantinya.
Sudah menjadi kelaziman, setiap kali Ustaz Abu Kasim muncul beliau akan disambut oleh beberapa ahli Darusysyfa' Warrafahah sambil bersalaman dan berpelukan tanda ikatan ukhwah sesama sahabat seperjuangan. Merekalah yang menjadi pembantu kepada Ustaz Abu Kasim dalam menunaikan fardu Kifayah, menolong tetamu-tetamu yang datang untuk mendapat rawatan mengikut kaedah perubatan Islam.
Tatkala itu, suasana di ruang tamu rumah Ustaz Abu Kasim kelihatan kembali tenang sementara tetamu-tetamu yang datang untuk mendapatkan rawatan diminta duduk dalam bentuk barisan seperti saf sembahyang. Pada malam itu, penulis menganggarkan jumlah tetamu yang datang untuk mendapatkan rawatan ialah sekitar 40 hingga 50 orang.
Mujurlah, ruang tamu rumah Ustaz Abu Kasim yang bersambung dengan ruang makan keluarganya itu agak luas dan dapat menampung kehadiran tetamu yang agak ramai.
Lebih kurang 10 minit kemudian, Ustaz Abu Kasim mula membaca surah al-Fatihah diikuti dengan ayat Kursi dan bacaan zikir-zikir dengan nada seperti lazimnya Imam membaca ayat-ayat Lazim ketika bersembahyang. Beliau membacanya sambil berjalan melalui celah saf tetamu yang duduk itu.
Suasana mulanya agak hening.
Hanya suara Ustaz Abu Kasim sahaja kedengaran.
Di luar rumah, sesekali kedengaran bunyi kicauan burung dan juga cengkerik. Tidak berapa lama kemudian, seorang pesakit tiba-tiba menjadi tidak sedar sambil menjerit seolah-olah kesakitan. Ada pula seorang lagi kelihatan bertukar watak menjadi pendiam, dengan matanya merenung tajam ke arah depan.
Namun Ustaz Abu Kasim terus membaca zikir-zikirnya tanpa henti, sementara pembantu-pembantu beliau pergi mendapatkan pesakit yang menjadi histeria untuk memberi bantuan sambil membaca doa-doa tertentu.
Perhatian penulis ketika itu, tertumpu pada seorang pesakit yang sedang histeria kerana penulis begitu teruja untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya, seperti menonton filem seram yang penuh suspens pula.
Pesakit itu, seorang wanita. Terdengar dia berkata; "Jangan kacau aku.. pergi.. pergi."
Seorang pembantu Ustaz Abu Kasim cuba menenangkan wanita itu, sambil membaca ayat-ayat tertentu petikan dari surah al-Quran.
Kala itulah wanita itu menjadi semakin agresif manakala penulis mendengar pembantu Ustaz Abu Kasim berkata kepada wanita itu; "Kau keluar sekarang... kalau tidak, siap kamu."
Pembantu Ustaz Abu Kasim seolah-olah berdialog dengan wanita itu, yang kelihatan seperti dirasuk.
Beberapa ketika kemudian, selepas 'bertengkar' dengan wanita yang dirasuk itu.. penulis nampak, wanita itu memegang lehernya seolah-olah menahan sesuatu daripada keluar dari mulutnya.
Kemudian dia seperti mahu muntah dan dengan segera pembantu Ustaz Abu Kasim menghulurkan bungkusan plastik untuk menadahnya. Selepas 'muntah' pesakit wanita itu, kelihatan sedar semula dan dalam keadaan letih serta beransur-ansur pulih seperti sedia kala.
Pada pengamatan penulis, daripada kalangan pesakit itu, tidak kurang daripada 10 orang 'bertukar watak' seperti kerasukan semasa Ustaz Abu Kasim membaca zikir-zikirnya. Mereka yang 'kerasukan' itu akan ditenangkan oleh para pembantu Ustaz Abu Kasim yang sememangnya sentiasa bersedia untuk menangani keadaan seperti itu.
Mana-mana pesakit yang begitu teruk 'kerasukannya' maka Ustaz Abu Kasim sendiri yang datang menenangkannya. Yang lain diserahkan kepada pembantu-pembantunya sahaja.
Pada mereka (pembantu-pembantu Ustaz Abu Kasim), ia adalah suasana biasa sahaja. Seorang pembantu Ustaz Abu Kasim, memberitahu penulis, pernah terjadi apabila seorang pesakit tiba-tiba bertukar menjadi amat agresif setelah dirasuk syaitan.
"Sampai lima enam orang kami terpaksa memegangnya," kata seorang pembantu Ustaz Abu Kasim.
Sesudah Ustaz Abu Kasim selesai membaca zikir-zikir perawatan, beliau akan mula memberi rawatan kepada pesakit-pesakit, seorang demi seorang hinggalah semuanya dirawat. Memandangkan, begitu ramai pesakit yang datang, rawatan biasanya berakhir hingga ke tengah malam.
Menurut Ustaz Abu Kasim, bilangan tetamu yang datang mendapatkan rawatan ada kalanya lebih ramai lagi sehingga 70 orang dan beliau tetap membantu mereka memberi rawatan hingga ke pukul 2 pagi.
Penulis sempat bertanya kepada Ustaz Abu Kasim; "Tak letih ke ustaz?"
"Letih tu memang letih la.. Tapi apa nak buat. Saya hanya membantu orang ramai yang mempunyai masalah... ini adalah kerana Allah," jawab Ustaz Abu Kasim sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment