BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Seorang ahli perniagaan wanita tempatan hari ini dihukum denda $6,000 atau enam bulan penjara setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan cuba merasuah pegawai polis.
Chen Yen Dji, 45, sebelum ini mengaku tidak bersalah bagi tuduhan tersebut. Bagaimanapun pada pertengahan perbicaraan dua hari lalu setelah lapan saksi dipanggil memberi keterangan, dia mengubah pengakuan kepada bersalah.
Menurut kertas pertuduhan, pada tengah malam antara 29 dan 30 Ogos 2008, defendan telah berada dalam sebuah kereta dengan nombor pendaftaran KK8068 diletakkan di belakang pejabat Standard Insurance Sdn Bhd di kawasan Surau tidak jauh dari Supasave Gadong, cuba menyogok Pegawai Polis Bantuan Lance Korporal Kamsulladin Buda sebanyak $200 supaya tidak melakukan soal siasat terhadapnya dan teman lelakinya, dikenali sebagai Welhelmo Rodriguez Caodo Jr.
Mahkamah diberitahu bahawa pegawai polis berkenaan mencurigai perbuatan defendan dan teman lelakinya itu lalu mendekati mereka untuk menyiasat. Defendan kemudiannya cuba menyogok $200 kepada pegawai terbabit yang segera melaporkan tawaran sogokan itu kepada Bilik Operasi, Ibu Pejabat Polis dan memanggil pasukan penyiasat.
Kedua-dua defendan dan teman lelakinya dibawa ke Balai Polis Pusat Bandar dan kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin polis manakala kes itu dipindahkan kepada Biro Mencegah Rasuah.
Mahkamah turut memerintahkan wang sogokan itu dirampas dan pasport defendan dikembalikan.
No comments:
Post a Comment