Monday, March 01, 2010

Pasaran cetak rompak kian sempit

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Masalah cetak rompak di negara adalah salah satu masalah yang serius bagi pelindungan hak cipta.

Ekoran kejayaan RIM di Brunei yang melancarkan kempen memerangi cetak rompak, sebuah syarikat, eMultimedia Entertainment (B) Sdn Bhd, mengikut jejaknya dalam usaha memerangi kegiatan mencetak rompak filem dan drama bersiri di Brunei dengan membuka pejabatnya di Brunei serta memulakan kempen memerangi kegiatan mecetak rompak keluaran mereka di negara ini.

Dengan hasrat untuk mengawal kegiatan cetak rompak dan menyertai usaha pihak antarabangsa untuk memerangi kegiatan cetak rompak daripada terus berleluasa, eMultimedia Entertainment akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati menjual produk yang dimiliki hak pengedaran oleh syarikat berkenaan di pasaran tempatan.

Dengan usaha proaktif itu, produk cetak rompak di pasaran tempatan dipercayai akan dapat dihapuskan dan budaya membeli produk asli akan dapat disemai di kalangan pengguna, kata Pengurus Besar eMultimedia Entertainment (B) Sdn Bhd, Bryon Tan ketika di temu bual Media Permata hari ini.

Syarikat eMultimedia Entertainment (B) Sdn Bhd, adalah sebuah syarikat usaha sama Brunei dan Malaysia yang diberikan hak eksklusif untuk mengedarkan produk, VCD dan DVD bagi program drama bersiri, filem terbitan TVBI bagi Brunei dan Malaysia.

Di samping drama bersiri dan filem dari Hong Kong itu, syarikat berkenaan juga sedang berusaha untuk mendapatkan hak eksklusif bagi filem dan drama bersiri Inggeris, Korea dan filem Malaysia.

Menurut Bryon, kira-kira dua tahun lalu, Syarikat eMultimedia Entertainment pernah mengadakan serbuan di pasaran Brunei bagi membanteras kegiatan cetak rompak produk mereka dan beliau diakui usaha itu adalah sukar.

Beliau menambah kata perbincangan sedang dibuat dengan pihak polis untuk mencari kaedah terbaik bagi memerangi kegiatan cetak rompak dan dengan tertubuhnya pejabat eMultimedia di Brunei, usaha memerangi kegiatan cetak rompak itu dapat dipertingkatkan.

Hasil tinjauan syarikat berkenaan, kira-kira 60 kedai menjual DVD di seluruh negara didapati menjual DVD cetak rompak, produk keluaran eMultimedia Entertainment yang tidak mempunyai pelekat hologram dan bukti pengesahan keaslian produk.

Bryon menerangkan sebagai langkah awal, syarikatnya akan mengadakan perbincangan dengan kedai yang menjual DVD di Brunei untuk menerangkan mengenai produk dan hak cipta yang dimiliki syarikatnya.

Di samping itu juga pengusaha kedai akan diberikan tempoh dua minggu hingga sebulan untuk mengemaskan DVD cetak rompak yang hak cipta milik diberikan kepada eMultimedia.

Byron menekankan jika terdapat kedai yang enggan mematuhi peraturan dan menghormati hak milik mereka, beliau tidak akan teragak-agak mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk mengadakan serbuan serta mengenakan tindakan undang-undang ke atas mereka yang bersalah.

Menyentuh mengenai harga produk DVD yang akan dijual ke pasaran Brunei, beliau berkata semua DVD akan mempunyai pelekat hologram yang menandakan produk berkenaan adalah asli dan produk itu akan dijual dengan harga yang berpatutan.

Beliau menambah kata DVD asli edaran eMultimedia boleh diperoleh di pasaran tempatan pada awal Mac ini.

Syarikat eMultimedia Entertainment (B) Sdn Bhd diberikan hak eksklusif untuk mengedarkan produk keluaran dan program terbitan TVBI di Brunei berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2010 dan jika mana-mana pihak yang didapati menjual, menciplak dan membuat salinan cetak rompak program serta produk berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang.

No comments:

Post a Comment