Monday, March 01, 2010
titah sultan ''Amal sifat ikhlas dalam kehidupan''
ANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titahnya menyeru agar rakyat dan penduduk di negara ini mengamalkan sifat ikhlas dalam kehidupan supaya kita benar-benar menjadi bangsa yang dirahmati oleh Allah serta dilimpahi dengan pelbagai nikmat dan kelebihan.
"Marilah kita sama-sama memakai 'pakaian ikhlas' yang cantik lagi suci di hadapan Allah dan juga di hadapan sesama insan, supaya hidup kita penuh berkat, dikasihi serta disenangi oleh Al-Khaliq (Maha Pencipta) dan makhluknya".
Titah Baginda Sultan bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini turut mengambil contoh tauladan yang diambil dari sunnah-sunnah Rasulullah sebagai tanda cinta dan penghormatan terhadap Nabi Muhammad saw.
"Bagindalah pembawa cahaya, yang menerangi alam maya di mana sebelum itu, dunia terjerumus ke dalam kancah kegelapan dan kesesatan. Cahaya tersebut ialah ugama Islam.
"Dalam usaha menyebar dan memperjuangkan ugama Islam itu, Baginda berhadapan dengan pelbagai rintangan dan ujian, bukan saja rintangan daripada musuh, malahan juga dari kaum keluarga baginda sendiri. Namun segala percubaan, dihadapi oleh Baginda dengan sabar dan tabah. Baginda tidak undur, malah terus menyebarkan ugama Allah dengan keyakinan, bahawa Allah pasti menolong Baginda.
"Dari manakah datangnya kekuatan dalam diri Baginda untuk menghadapi semua ini? Jawabnya dari keimanan dan keikhlasan kepada Allah, Iman dan ikhlaslah yang membawa kuat itu. Kalau ada iman dan ikhlas, semua rintangan mampu dihadapi," titah Baginda Sultan.
Menurut Baginda, kemampuan itu bukan sahaja datang dari kita sendiri, malahan juga ditambah dengan pertolongan Allah, kerana kita menolong agamanya.
Baginda Sultan bertitah, ikhlas itu amatlah agung dalam apa saja perkara.
"Ia sangat berkat lagi dituntut, bukan saja dalam beribadat malahan juga dalam semua keadaan: dalam belajar, dalam mencari nafkah, dalam mencari kehidupan berkeluarga dan bernegara, semuanya menghendaki ikhlas.
"Jika tanpa ikhlas, akan pahitlah natijahnya," titah Baginda lagi.
Menurut Baginda Sultan, ikhlas adalah penawar atau ubat segala kepincangan khasnya dalam bidang pekerjaan atau tugas, jika seseorang itu sungguh-sungguh ikhlas, maka sudah barang tentu dia akan bersih daripada segala macam sifat buruk, seperti tamak, dengki, tidak amanah, rasuah dan seumpamanya.
"Beta sangat berharap, dalam keghairahan kita menyambut Maulud Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam ini, seluruh rakyat dan penduduk, tanpa mengira kedudukan pangkat, akan mengamalkan sifat ikhlas itu dalam kehidupan supaya, kita benar-benar menjadi bangsa yang dirahmati oleh Allah, yang dilimpahi pelbagai nikmat dan kelebihan," titah Baginda Sultan.
Titah Baginda, kita mesti mencari untung dengan kebajikan, bukan sebaliknya kerana keuntungan yang diraih dengan kebajikan, nilainya adalah tinggi, berbanding yang dapat melalui kerja-kerja curang, akan mengundang dan menghumbankan kita kepada kecelakaan di dunia mahupun di akhirat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment