BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas Polis Diraja Brunei akan terus komited memastikan langkah menurunkan kadar kemalangan dan sikap melanggar peraturan di tahap minimum.
Perkara itu dibuktikan dengan berjayanya pihak berkuasa berkenaan membuat 15 kes saman hari ini dalam operasi Tali Pinggang Keselamatan di jalan Gadong di kawasan Beribi menuju ke ibu pejabat Polis Diraja Brunei Gadong.
Seramai 18 pegawai diketuai Koperal Sidek Seruddin memulakan operasi hari ini pada jam 9.45 pagi bertujuan untuk memastikan arahan pemakaian tali pinggang keledar dipatuhi selain menjadi kempen Polis Diraja Brunei kepada keselamatan di jalan raya.
Ia juga dihasratkan dapat memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya untuk terus berwaspada terutama kepada ciri keselamatan yang mampu menyelamatkan jiwa itu.
Menurut Polis Diraja Brunei hari ini kesalahan bagi arahan pemakaian tali pinggang keledar adalah di bawah Seksyen 8(1) MVR 1988 RTA Bab 68 yang mana pesalah boleh dikenakan hukum maksimum $2,000 atau hukuman 6 bulan penjara jika gagal membayar denda.
No comments:
Post a Comment