Thursday, February 18, 2010

14 kes sumbang mahram dicatat tahun lalu

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak mencatatkan 14 kes sumbang mahram, tiga kes persetubuhan bawah umur, 32 kes rogol dan 25 kes menjatuhkan maruah sepanjang tahun 2009. Bagaimanapun tiada kesalahan seksual luar tabii dicatatkan sepanjang tempoh berkenaan.

Jika dibandingkan dengan tiga tahun sebelumnya, 2006 mencatatkan 15 kes sumbang mahram yang kemudiannya menurun kepada 10 kes pada 2007 dan terus berkurang pada 2008 kepada empat kes, tetapi meningkat semula kepada 14 kes tahun lalu.

Statistik mengejutkan ini dipaparkan pada pameran dan demonstrasi bersempena Hari Polis di Pusat Latihan Polis, Gadong. Pameran selama tiga hari itu berakhir semalam.

Bagi kes persetubuhan bawah umur pula menunjukkan konsistensi dalam tiga tahun kebelakangan dari 2007 hingga 2009 iaitu 3 kes, berbanding hanya 1 kes yang dicatatkan pada 2006.

Kes rogol pula menunjukkan sedikit penurunan dari 34 kes pada 2008 kepada 32 kes pada 2009, tetapi jelas meningkat jika dibandingkan dengan 2006 yang mencatatkan 22 kes dan 26 kes pada 2007.

Bagi kes menjatuhkan maruah, ia bermula dengan hanya 13 kes dicatatkan pada 2006, meningkat kepada 29 kes pada 2007, meningkat lagi pada 2008 kepada 33 kes, tetapi kemudiannya berkurang tahun lalu kepada 25 kes.

Statistik kes luar tabii pula mencatatkan tiga kes pada 2006, satu kes pada 2007 dan lima kes pada 2008, tetapi tiada kes yang dilaporkan berlaku pada 2009.

Jika dilihat pada Statistik Purata Kes-Kes Yang Disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak dari 2004 hingga 2009, keganasan rumah tangga mendahului senarai dengan 56 peratus daripada keseluruhan kes yang dicatatkan diikuti kesalahan seksual (22 peratus), remaja perempuan bermasalah (12 peratus), penderaan kanak-kanak 9 peratus dan pembuangan anak damit 2 peratus.

Tiga kes pembuangan anak damit dilaporkan pada 2006, menurun kepada dua kes pada 2007 dan 2008 dan kemudiannya menurun lagi kepada satu kes pada 2009.

Statistik remaja bermasalah pula pada mulanya menunjukkan peningkatan dari 30 kes pada 2006 kepada 35 kes pada 2007 dan terus meningkat kepada 54 kes pada 2008 sebelum menurun semula pada tahun lalu kepada 41 kes.

No comments:

Post a Comment