BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa kemewahan hidup yang disandarkan kepada hutang yang bertumpuk-tumpuk merupakan kemewahan yang rapuh, malah hanya akan banyak mendatangkan kerugian pada jangka panjang.
"Baru-baru ini, kerajaan telah melaksanakan peraturan pengawalan penggunaan kad kredit dan langkah ini telah menarik pelbagai pihak dan menjadi satu perkara yang diperkatakan ramai.
"Walaupun pada peringkat awalnya, perkara ini mungkin sedikit sebanyak mempersulit sebilangan rakyat atau institusi yang mempunyai kepentingan namun pihak kerajaan percaya, tindakan ini sungguh tepat demi menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini pada jangka waktu yang jauh," titah Baginda Sultan sempena menyambut perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang ke-26.
Ini, titah Baginda adalah satu daripada strategi dalam menjadikan ekonomi sebagai salah satu daripada tiga tiang utama Wawasan Brunei 2035.
Negara memerlukan dasar ekonomi yang lebih teratur, mantap dan menarik termasuk memerlukan iklim pelaburan yang kondusif yang berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perekonomian secara keseluruhan.
Usaha ini adalah perlu bagi membolehkan kita mengimbangi kekurangan dalam pasaran domestik, serantau mahupun global serta menukarkannya kepada situasi yang lebih positif dan menguntungkan, titah Baginda.
Baginda seterusnya bertitah, tema sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini ialah 'Negaraku Brunei Darussalam' dan ramai beranggapan tema ini hanya untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara semata-mata.
"Patriotisme dan cintakan negara sering dilihat orang dari kulitnya saja yang berupa ikrar dan upacara kesukaan dan jarang orang melihatnya sampai ke lubuk rahsia, yakni nikmat itu ditanai dengan syukur dan digilap dengan kerja takwa kepada Allah."
Jika ini ada, titah Baginda maka barulah ada harapan untuk nikmat itu berkekalan.
"Maka bersukut dengan saat bersejarah ini, marilah kita sama-sama menghayati amal syukur dan amal takwa itu dan selebihnya, kita memerlukan prestasi perlaksanaan yang berterusan.
"Kita mahu apa yang dirancang itu dilaksanakan dengan menepati jadual bukan sekadar rancangan di atas kertas saja dan adapun anak kunci kepada semua ini ialah 'cara' kita melaksanakannya," titah Baginda Sultan.
Di antara cara paling efektif ialah perundingan yang berkesan di antara agensi kerajaan berkaitan, misalnya ada rancangan untuk membangun sekolah atau masjid dan kadang-kadang dijadikan alasan mengapa 'lambat' ialah kerana ada halangan berkaitan dengan syarat tanah atau tanah belum digezit dan seumpamanya.
"Jika ini adalah alasannya, bukankah semua itu dari kerajaan jua dan sepatutnya kalau kerajaan sendiri yang berkehendaki, tentu saja masalah itu tidak akan jadi sukar lagi tetapi kelambatan tetap juga berlaku, mengapa?" soal Baginda.
Baginda mempersoalkan adakah kita betul-betul serius ataupun tidak dan jika lambat di peringkat bawah, adakah peringkat atas mahu turun padang berunding.
Dan inilah makanya mekanisme penyukat prestasi telah dibentuk untuk dipakai sebagai panduan oleh setiap agensi kerajaan.
Baginda Sultan dalam titah Baginda turut menyentuh mengenai satu lagi keperluan dalam usaha membangun negara iaitu keadaan alam sekitar.
Titah Baginda tidak ada maknanya pembangunan pesat jika alam sekitar terjejas buruk kerana kita juga memerlukan tanah yang subur, udara yang bersih, air minum yang bersih malah air laut yang bersih yang tidak tercemar kerana inilah sumber kesejahteraan yang sebenar-benarnya.
Oleh itu, titah Baginda sudah tiba masanya untuk kita menyegerakan penggubalan undang-undang atau peraturan bagi pembangunan lebih terkawal, misalnya kita perlu menguatkuasakan mekanisme penilaian impak alam sekitar (environmental impact assesment) dan lain-lain seumpamanya bagi projek pembangunan.
Sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang ke-26, Baginda Sultan turut bertitah merakamkan penghargaan kepada segenap lapisan rakyat serta penduduk negara ini termasuk semua peringkat, ahli perkhidmatan awam, pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta di atas segala bentuk pengorbanan dan sumbangan mereka kepada negara.
No comments:
Post a Comment