BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Seorang pakar undang-undang dari Pakistan yang dilantik sebagai Penasihat dalam kerja-kerja menyesuaikan undang-undang dengan kehendak syarak dalam kajiannya mendapati tidak banyak yang bertentangan dengan syarak.
Daripada kajian itu, sebanyak 30 undang-undang perlu disesuaikan dari sejumlah 151 undang-undang, dan 18 undang-undang yang telah disesuaikan oleh Unit Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah diluluskan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) Fasa Pertama daripada sejumlah undang-undang yang telah dikaji dan diteliti.
Perkara di atas telah ditimbulkan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Badaruddin Haji Othman dalam syarahannya bertajuk "Jejak Langkah Junjungan" di Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad 1431 Hijrah semalam.
Beliau telah mengetengahkan Hadis Mu'az bin Jabal yang sangat masyhur di kalangan ulama, yang menggariskan panduan tentang pemakaian hukum-hakam antara al-Qur'an, as-Sunnah dan Ijmak' Ulama menerusi ijtihad, yang menurutnya negara ini sebenarnya sedang berjalan di atas dasar berkenaan sambil mengambil langkah-langkah yang perlu menyesuaikan undang-undang negara dengan kehendak syarak.
Hadis itu menyebutkan dalam menetapkan hukum-hakam sama ada dalam menghakimkan kes atau menjalankan urusan pemerintahan, iaitu dengan cara yang diredai oleh Rasulullah, hendaklah merujuk terlebih dulu kepada al-Qur'an.
Lepas itu barulah kepada Sunnah, dan setelah kedua-dua sumber itu tidak didapati ketetapan barulah menggunakan ijtihad, pendapat dan budi bicara yang juga mengambil kira hikmat tasyri' atau siasah syar'iyah.
"Kita di Brunei ini menguasai negara kita sepenuhnya.
"Pemerintahan Beraja sudah turun temurun berada dalam tangan orang Islam. Kerajaan yang memerintah adalah dikepalai oleh raja iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Dari segi Perlembagaan Negara, Baginda Sultan adalah pemegang kuasa tertinggi memerintah."
Oleh itu, menurutnya, memang tepatlah pemerintahan negara yang berdasarkan Perlembagaan Negara dan Undang-undang dijalankan dengan menurut hukum Allah di dalam al-Quran, Hadis Rasulullah, dan Ijmak' Ulama, iaitu ketiga-tiga sumber hukum itu menjadi dasar dan landasan hukum syara' yang meliputi akidah, syari'ah dan akhlak.
Sehubungan itu beliau menegaskan, dalam hal itu hendaknya semua rakyat dan penduduk di Negara ini tidak merasa waham dan walang akan kedudukan pemerintahan Negara ini dipandang dari sudut hukum syarak.
No comments:
Post a Comment